Perkahwinan Siti Hartinah

Pada suatu hari, seorang utusan daripada keluarga Prawirowihardjo, bapa angkat Suharto, tiba-tiba mengunjungi rumah Siti Hartinah untuk melamarnya.[2] Pada waktu lamaran, baik Suharto mahupun Siti Hartinah belum saling bertemu. Sebelum lamaran dilakukan, ada kerisauan di hati pemuda Suharto kalau-kalau lamarannya ditolak kerana beliau berasal daripada kalangan orang biasa, sedangkan Siti Hartinah berasal daripada keluarga bangsawan. Bukan satu dua kali, Siti Hartinah mendapat lamaran atau ada pemuda yang cuba mendekatinya, tetapi beliau selalu sahaja menolak. Akan tetapi, ketika yang melamar adalah seorang perwira muda bernama Suharto, beliau sama sekali tidak menunjukkan keberatannya.

Perkahwinan Siti Hartinah dan Suharto diadakan pada 26 Disember 1947. Upacara pernikahan dijalankan dengan amat sederhana. Sambutan pun hanya diterangi lampu lilin yang redup. Malam pertama mereka diwarnai dengan perintah berkurung malam. Setiap orang tidak dibenarkan meninggalkan rumah atau melihat ke luar rumah oleh askar-askar yang berjaga. Dalam keadaan darurat seperti itu, sangat wajarlah jika tidak adanya sebarang gambar foto untuk mengenang-ngenangkan perkahwinan mereka. Ketika itu, Suharto berumur 26 tahun, manakala Siti Hartinah berumur 24 tahun.

Meskipun tanpa melalui sebarang pacaran, Siti Hartinah dan Suharto berupaya mempertahankan perkahwinan mereka sepanjang umur. Mereka dikurniakan dengan enam orang anak, iaitu tiga orang anak lelaki dan tiga anak perempuan, seperti yang berikut:[3]

  • Siti Hardiyanti Hastuti (juga dikenali sebagai Tutut,  lahir 23 Januari 1949)
  • Sigit Harjojudanto (lahir 1 Mei 1951)
  • Bambang Trihatmodjo (lahir 23 Julai 1953)
  • Siti Hediati (lahir 14 April 1959)
  • Hutomo Mandala Putra (juga dikenali sebagai Tommy, lahir 12 Ogos 1962)
  • Siti Hutami Endang Adiningsih (lahir 23 Ogos 1964).

Siti Hartinah meninggal dunia di Jakarta pada 26 April 1996 dan dengan itu, terselamat daripada mengalami penderitaan melihat suaminya dipaksa meletakkan jawatannya sebagai Presiden Indonesia pada 21 Mei 1998. Beliau dimakamkan di Astana Giri Bangun, Jawa Tengah.[4]